Oleh: Dr Ustaz Syazalie Hirman bin Ahmad Najib
Pengerusi Pertubuhan Ilmuwan Dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)
dan
Ustazah Atriza binti Umar
Penolong Setiausaha ILMAN
Pertubuhan ILMAN <pertubuhan.ilman@gmail.com
SEKALI lagi kita dipertemukan dengan bulan Ramadhan yang dimuliakan. Rebutlah peluang bersama-sama menjadi hamba Allah yang diampunkan segala dosa kita dan juga beroleh ganjaran pahala yang terlalu banyak yang Allah Subhanahuwataala sediakan untuk sekalian hamba-Nya.
Sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallallahualaihiwasallam bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” [HR Bukhari (38) dan Muslim (760)]
Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beriktikad akan hak kefarduan puasa Ramadhan dan dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah Subhanahuwataala.
Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa Ramadhan dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah Subhanahuwataala untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya. [Rujuk Fath al-Bari, 4/115]
BACA JUGA: Ramadhan Sebagai Madrasah Pendidikan
Justeru, betapa Ramadhan ini menjadi bukti, betapa pengasih dan penyayangnya Allah Subhanahuwataala kepada kita semua.
Kewajipan berpuasa
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)
Tahukah kita? Siyam atau dalam bahasa Melayu disebut puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkannya pada waktu yang ditetapkan.
Perbedaan bulan Ramadhan dengan bulan-bulan yang lain ialah dalam bulan Ramadhan, setiap Muslim tidak boleh makan, minum serta melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Maka sebagai seorang Islam, tiada alasan untuk tidak berpuasa Ramadhan ketika telah sampai usia balighnya kecuali mereka yang telah diberikan rukhsah (keringanan) sebagaimana tercatat dalam Surah al-Baqarah ayat 184 dan 185.
– (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu;
– Maka barang siapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain;
– Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.
– Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya;
– Dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (184)
– (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.
– Oleh itu, sesiapa daripada kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu;
– Dan barang siapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.
– (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.
BACA JUGA: 7 Kesibukan Para Salaf di Bulan Ramadan
– Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan),
-Dan supaya kamu membesarkan Allah karena mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur. (185)
Justeru, puasa Ramadhan merupakan salah satu ibadah yang istimewa, kerana Allah Subhanahuwataala menyandarkan kepada diri-Nya dan hanya Allah Subhanahuwataala sahaja yang mampu untuk menilainya.
Mendidik diri
Hakikatnya, mereka yang berpuasa Ramadhan sebenarnya sedang mendidik dan menahan diri dari melakukan sesuatu yang membatalkan puasa, sungguhpun perkara-perkara tersebut pada asalnya adalah halal dan harus sekiranya tidak berpuasa.
Bulan Ramadhan merupakan bulan tarbiah buat umat Islam. Ramadan adalah platform yang mendidik seseorang itu menjadi seorang Muslim yang benar.
Barangkali sebelum ini seseorang itu sukar mengawal bicara, mengumpat keji, tidak kisah tentang halal dan haram, tidak peduli segala maksiat dan kemungkaran di sekelilingnya dan seumpamanya yang seolah-olah sudah sebati dalam kehidupannya.
Begitulah Tarbiah Ramadhaniyyah dalam membentuk mukmin yang bertakwa, yang sentiasa berwaspada terhadap titah perintah serta larangan Allah Subhanahuwataala.
Amalan hidup
Maka setelah sebulan dididik menahan diri daripada perkara yang asalnya harus, maka seharusnya semangat serta roh Ramadhan ini perlu dibawa ke dalam amalan hidup seseorang mukmin sepanjang masa. Bukan saja ditahan dan dikawal sepanjang bulan Ramadhan, tetapi ia diteruskan untuk 11 bulan yang akan datang hingga ternoktahnya usia.
Menahan diri daripada melakukan larangan Allah Subhanahuwataala sekalipun mampu melakukannya, bukan karena tidak berpeluang atau berkesempatan melakukannya. Tetapi kerana nafsu yang dikekang dan ditundukkan serta roh yang dididik itu, ia mampu menahan dirinya.
Imam al-Ghazali dalam kitab Minhaj al-‘Arifin mengatakan: “Jika kamu berpuasa, berniatlah untuk mengekang nafsu daripada pelbagai keinginan kerana puasa bererti musnahnya kehendak nafsu. Ia mengandungi kejernihan hati, menguruskan badan dan mengingatkan kita untuk berbuat baik kepada kaum fakir. Itu semua adalah agar kita kembali kepada Allah Subhanahuwataala. Bersyukur atas pelbagai nikmat yang Dia anugerahkan, dan meringankan hisab. Maka, anugerah Allah berupa taufik yang menjadikanmu mampu berpuasa itu lebih besar dibanding mensyukuri nikmat dan puasamu yang menuntut balasan daripada-Nya.”
BACA JUGA: Status Seseorang yang Junub saat Subuh Ramadan
Kewajipan mukmin
Ibadah puasa Ramadhan bukan budaya bangsa atau masyarakat setempat, tetapi ia adalah arahan serta perintah oleh Yang Maha Agung.
Andai kata seseorang mukmin itu berada di suatu tempat ataupun keadaan yang tiada siapa pun yang berpuasa, ia tetap akan berpuasa selagi imannya teguh dan kukuh dalam dirinya.
Tarbiah Ramadhan seharusnya memandu kita meningkatkan kewaspadaan terhadap segala perintah dan larangan Allah Subhanahuwataala. Maka, teruskanlah azam dan tekad tersebut agar konsisten selamanya.
Moga kita tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang bertakwa. Mudah-mudahan ibadah kita diterima oleh
Allah Subhanahuwataala. Amin Ya Rabb al-Alamin. []
FB ILMAN: fb.me/ilman.my
Telegram ILMAN: t.me/ILMAN_channel
Kirim tulisan Anda ke Islampos. Isi di luar tanggung jawab redaksi. Silakan kirim ke: redaksi@islampos.com atau islampos@gmail.com, dengan ketentuan tema Islami, pengetahuan umum, renungan dan gagasan atau ide, Times New Roman, 12 pt, maksimal 650 karakter.