DARI Abu Hurairah r.a, bahawa seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Celakalah aku wahai Rasulullah.”
Rasulullah bertanya: “Apa yang mencelakakan kamu?”
Dia menjawab: “Aku telah melakukan hubungan badan dengan isteriku pada (siang hari) bulan Ramadhan.”
Lalu Rasulullah bertanya: “Mampukah kau mencari seorang hamba untuk dibebaskan?”
“Tidak!”
“Mampukah kau berpuasa dua bulan berturut-turut?”
“Tidak!”
“Mampukah kau memberi makan kepada enam puluh orang miskin?”
“Tidak!”
Kemudian dia duduk. Tatkala itu dibawakan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sebakul kurma.
Rasulullah berkata kepadanya: “Sedekahkanlah (kurma) ini.”
Dia menjawab: “Adakah yang lebih miskin daripada kami? Tidak ada yang lebih miskin di antara dua lembah Madinah ini melainkan keluargaku.”
Mendengar demikian Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ketawa sehingga nampak gigi baginda.
Lalu baginda bersabda: “Pergilah dan berilah makan keluargamu (dengan kurma ini).” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1111-1 Kitab al-Siyam, Bab larangan keras melakukan hubungan seks…].