AT-THABRANI melaporkan dari Salman dan berkata bahawa seorang lelaki datang kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam lalu lelaki itu berkata, “Assalamualaika, ya Rasulullah.”
Baginda menjawab, “Wadaika as-salam wa rahmatullahi wa barakatuhu.”
Kemudian, orang lain datang dan berkata, “Assalamualaika ya Rasulullah wa rahmatullahi wa barakatuhu.”
Nabi Muhammad Shalallahu ‘alaihi wasallam menjawab, “Waalaika.”
BACA JUGA: Bahasa Salam Para Nabi
“Wahai Rasulullah, fulan dan fulan datang kepada kamu. Lalu, kamu memberi penghormatan kepada kedua-duanya dengan melebihkan antara satu dengan yang lain?” tanya seorang lelaki yang tidak biasa dengan sikap Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam.
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam menjawab, “Itu tidak menjadikan perkara sia-sia walau sedikit pun. Allah menyatakan, ‘Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, balas penghormatan itu dengan lebih baik daripada itu ataupun balas ia dengan serupa.’” (Surah An-Nisaa, ayat 86)
Imam Ahmad merekodkan dari Tsabit Al-Bunani, daripada Anas, pada suatu hari, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam meminta izin untuk bertemuu dengan Saad bin Ibadah.
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam berkata, “Assalamualaikum warahmatullah.”
“Waalaikassalam warahmatullah,” jawab Saad.
Namun, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam tidak mendengar Saad menjawab salam.
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam kembali mengucap salam sehingga tiga kali. Saad menjawab salam Nabi Shalallahu ‘alaihi wasallam sebanyak tiga kali. Namun, tidak didengari oleh Nabi Shalallahu ‘alaihi wasallam.
Kemudian, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam berpaling dan ketika melangkah kaki keluar, Saad menyusul dan mendekati Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam.
BACA JUGA: Keajaiban Hidangan Sederhana Jabir untuk Para Penggali Khandaq
Lalu, Saad berkata, “Wahai Rasulullah, demi ayah aku, Tuan, dan ibu aku, ketika Tuan mengucapkan salam, aku menjawab salam itu. Namun, aku sengaja tidak memperdengarkan salam itu kepada Tuan. Hal itu aku lakukan kerana aku suka sekiranya banyak mendapat salam dan keberkatan daripada Tuan.”
Kemudian, Saad mengajak Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam masuk ke dalam rumahnya. Saad menghulurkan buah zaitun kepada beliau dan beliau pun memakan buah zaitun itu. Selepas Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam selesai menikmati hidangan itu, ia berkata, “Aku memakan makanan kamu yang baik. Para malaikat membaca shalawat untuk kamu.” []
Sumber: Selembut Hati Rasulullah/Karya: Miftahul Asror Malik/Penerbit: PTS Islamika/2013